Kota Kinabalu: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu sememangnya menjejaskan pendapatan kepada rata-rata pengusaha makanan segera di negeri ini.
Meskipun bersetuju dan menyokong tindakan kerajaan itu namun, pemain industri makanan berharap kerajaan negeri dapat mengkaji semula masa operasi dipanjangkan sehingga jam 8.30 malam.
Pengarah Borenos Sdn Bhd, Janice Yeo berkata, sejak PKP dikuatkuasakan, masa operasi yang dibenarkan ketika ini adalah dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang
Ekoran itu katanya, pendapatan kedai makanan segera itu juga terpaksa menanggung kerugian sekitar 40 peratus setiap hari.
“Oleh itu, kami berharap pihak kerajaan dapat mengkaji semula masa operasi untuk premis makanan segera terutamanya pada bulan ramadan ketika ini.
“Walaupun, operasi dibenarkan sehingga jam 6 petang, namun kami sebenarnya terpaksa menghentikan jualan seawal jam 5.15 petang bagi kerja-kerja pembersihan,”katanya ketika ditemui, hari ini.
Janice berkata, sebaiknya, pihak kerajaan dapat menganjurkan sesi dialog bersama pemain industri makanan di negeri ini untuk bertukar-tukar idea dan pandangan serta memahami keadaan sebenar yang dihadapi.
Katanya, selain memberi kefahaman yang lebih kepada pengusaha restoran makanan segera, sesi berkenaan juga dapat memberi ruang kepada mereka menyuarakan permasalahan yang dihadapi.
“Sebagai contoh, kami hanya menggunakan kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan pekerja walaupun terpaksa membayar penuh.
“Sekiranya masa operasi dapat dipanjangkan, sudah pasti kami memerlukan lebih pekerja untuk pertukaran syif,”katanya.
Janice berkata, ketika ini restoran makanan segera di beberapa negeri lain dibenarkan beroperasi sehingga jam 10 malam.
Featured on Asia Times 亚洲时报 : http://www.asiatimes.com.my/2020/05/06/mohon-masa-operasi-dilanjutkan/
Artikel oleh Fardy Bungga, 6/5/2020
[email protected]